Thursday, February 5, 2009

MYSABAHKINI BERPINDAH

Para pelawat yang dihormati,

Bermula dari hari ini, mysabahkini akan mula beroperasi di alamat baru http://www.sabahkini.net

Bagaimanapun, penukaran ke laman web baru ini akan melibatkan gangguan kerana komen tidak lagi dapat dibenarkan melainkan yang dihantar terus ke email sabahkini.net@gmail.com. Pelawat boleh berkunjung ke alamat baru ini tetapi http://mysabahkini.blogspot.com masih boleh dicapai tetapi tidak lagi akan dikemaskini dan akan ditutup pada 15 Februari 2009.


Sila layari posting terbaru di http://www.sabahkini.net

Sunday, February 1, 2009

JENDELA KUASA DI SABAHKINI.NET!



IKUTI tulisan saya di dalam JENDELA KUASA mulai 7 Februari 2009 di www.sabahkini.net yang akan membicarakan isu semasa yang hangat dan panas terutama membabitkan kepimpinan dan kemasyarakatan. Jendela Kuasa adalah ruangan khas yang mencerminkan minda saya sebagai EDITOR sabahkini.net dan tidak disiarkan di mana-mana blog saya. Sebarang pandangan atau ulasan berhubung isu yang akan dibangkitkan di dalam pojok siber berkenaan boleh diemailkan kepada mutalibmd@gmail.com. Selamat melayari media alternatif Sabah yang telus, berani dan mempertahankan kebenaran...MUTALIB M.D

BLOGGER ADALAH PELACUR?

RAMAI Ahli Parlimen di Malaysia yang tidak senang dengan kewujudan banyak blog yang menghentam kerajaan dan blooger yang semakin ramai telah menggelarkan para blogger sebagai PELACUR POLITIK!

Timbalan Presiden 1, Persatuan Blogger Sabah, Ismail Rosli @ Endra kesal dengan tindakan ramai ahli politik di Malaysia yang mula merasa takut dan bimbang rahsia mereka dibongkar para blogger telah memberi pelbagai gelaran yang tidak baik.

"Saya terkejut kerana seorang ahli parlimen menghantarkan mesej melalui SMS menuduh ahli Persatuan Blogger Sabah sebagai Pelacur Politik," kata Ismail seraya menunjukkan sms berkenaan daripada seorang ahli parlimen.

Ismail juga kesal kerana penyertaannya di dalam Persatuan Blogger Sabah (PBS) telah menyebabkan ramai pemimpin politik Sabah salah faham apabila kes mereka dibongkar satu persatu di dalam beberapa blog oleh ahli PBS.

"Kita bukan mahu menjatuhkan sesiapa dan kita terima jika orang yang dituduh mahu memberi kenyataan dan kita siar. Kami adalah wartawan maya atau siber yang boleh menyampaikan maklumat terus kepada rakyat," ujar Ismail agar para pemimpin yang merasa terancam atau terkinal agar segera membetulkan kesilapan mereka.

Saturday, January 31, 2009

NOTIS PENGUMUMAN RASMI



Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh & Selamat Sejahtera,

Saya MUTALIB M.D editor www.sabahkini.net ingin memaklumkan bahawa saya memerlukan sekurang-kurangnya 14 hari untuk menaiktaraf laman web ini sebelum menutup blog http://mysabahkini.blogspot.com secara rasmi pada 15 Februari 2009. Apa yang tersiar di blog http://mutalibmd.blogspot.com adalah pandangan peribadi saya dan tidak ada kena mengena dengan www.sabahkini.net yang sedang dibangunkan sekarang dan sudah boleh dilayari mulai sekarang. Pelancaran rasmi akan dibuat pada 15 Februari 2009 atau terkemudian. Notis pelancaran akan diumumkan di blog ini dan laman web Sabahkini.Net. Para blogger di seluruh Malaysia diminta menghantar artikel atau karya mereka melalui email sabahkini.net@gmail.com. Saya menyusun jari memohon ampun sekiranya terdapat gangguan teknikal ketika melayari laman seb berkenaan yang sedang dalam pembinaan.

Untuk makluman pembaca, laman web www.sabahkini.net akan menjadi portal berita bebas yang menjadi media alternatif khas untuk bacaan umum dan mengandungi ruangan hiburan, belia, politik, sukan, sastera, sains, sosial, agama dan sebagainya.

Friday, January 30, 2009

PENAMBAHBAIKAN ATAU MEMILIK PERIBADIKAN?



ABU BAKAR (kiri)dan DR FOWZI (Kanan)

KETUA Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Zainuddin Hassan menyangkal usaha yang dilakukan oleh Lembaga Pelabuhan Sabah sebagai proses penambahbaikan apabila menukarkan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Sabah, Datuk Zaki Gusmiah dengan Setiausaha Kerja UMNO Sabah, Datuk Kadzim Yahya.

"Struktur penyusunan semula lebih memihak kepada kepartian kerana masih mengekalkan V Jothi daripada MIC dan menggantikan mereka yang mempunyai jawatan dalam parti sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Sabah," ujar Zainuddin yang menggesa agar jawatan berkenaan dibuka kepada rakyat Sabah dan bukannya berasaskan parti.

Zainuddin menyifatkan perlantikan Datuk Kadzim sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Sabah hanya membazirkan wang rakyat kerana Lembaga Pelabuhan Sabah hanya mempunyai 25kakitangan kerana selebihnya telah dijadikan hamba abdi oleh Suria Capital Holding Berhad.

Sebelum ini, tegas Zainuddin, Lembaga Pelabuhan Sabah mempunyai 800 kakitangan namun setelah pengambil alihan operasi pelabuhan oleh Suria Capital hanya 25 orang sahaja masih bersama Lembaga Pelabuhan Sabah.

Tambah Zainuddin, keadaan ini menunjukkan ada pihak yang berhasrat menguasai Lembaga Pelabuhan Sabah setelah berjaya menswastakan Pelabuhan Teluk Sepanggar kepada Suria Capital Holding Berhad yang dimiliki kroni dan kaum kerabat Ketua Menteri Sabah.

Perkembangan terbaru kata Zainuddin, menunjukkan Perlantikan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Sabah, Datuk Dr Fowzi Haji Razi sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital Holding Berhad menggantikan Datuk Haji Abu Bakar Bin Haji Abas dianggap sebagai usaha beberapa pemegang saham utama Suria Capital untuk mengukuhkan kedudukan mereka setelah mengambil alih Pelabuhan Kontena yang bernilai RM450 juta daripada Lembaga Pelabuhan Sabah.

Tempoh perkhidmatan Abu Bakar tamat pada 31 Januari 2009 telah disambung beberapa hari lagi sebelum Lembaga Pengarah Suria Capital Holdings Berhad mengadakan mesyuarat bagi memasyhurkan Datuk Dr Fowzi sebagai Pengarah Urusan Kumpulan yang baru.

Abu Bakar telah berkhidmat dengan Suria sejak Februari 2004 juga adalah Pengerusi S.P. Satria Logistic Sdn.Bhd iaitu anak syarikat Suria Capital Holding Sdn.Bhd

BUKAN SAYAP TETAPI UMNO YANG WAJAR DIBUBARKAN?


SILAP....Ismail menunjukkan keratan akhbar kenyataan Rithauedden yang dianggap tersilap dan memalukan Majlis Tertinggi UMNO.

CADANGAN Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudden Tengku Ismail agar Majlis Tertinggi UMNO membubarkan semua sayap parti sebagai jalan penyelesaian untuk menghapuskan politik wang adalah tidak wajar dan menjatuhkan maruah UMNO.

Ketua Pemuda Cawangan UMNO Tambalugu, Tuaran, Ismail Mohd Rosli berkata demikian sebagai mengulas tindakan Rithaudden yang membuat kenyataan media sebelum mendapatkan restu Majlis Tertinggi UMNO adalah perbuatan 'biadap' yang dilakukan seorang yang selama ini dipandang mulia oleh ahli UMNO.

"Perjuangan UMNO menjadi seolah tidak bermaya dan tidak bermakna lagi sekiranya semua sayap yang dtubuhkan mengikut Perlembagaan Parti dimansuhkan semata-mata untuk menghukum mereka yang tidak bersalah kerana merebut jawatan di dalam semua sayap parti dan mengganggap mereka sebagai penyubur rasuah di dalam UMNO," ujar Ismail yang berpendapat budaya potong dan cantas di dalam UMNO semakin berleluasa.

Adalah tidak munasabah kata Ismail jika Rithaudden membuat kesimpulan bahawa dengan pemansuhan sayap parti boleh menjamin rasuah politik akan dibasmi secata total di dalam UMNO kerana yang bertanding jawatan Majlis Tertinggi mempunyai banyak wang untuk diberi berbanding wanita, pemuda, puteri dan putera yang masih belum mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

"Rasuah politik bermula di zaman Anwar Ibrahim merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO dengan Ghaffar Baba. Bukan dimulakan di bawah atau disayap parti, sebaliknya di Majlis Tertinggi dan bagi mengelakkan rasuah politik, sewajarnya UMNO Sabah dibubarkan dan ditaja semula," ujar Ismail yang melihat UMNO Sabah hanya mementingkan kroni dan proksi kerana ditadbir secara kurang bestari oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah seolah-olah UMNO Sabah adalah UMNO Sdn.Bhd.

Tambahanpula kata Ismail, UMNO Sabah telah diresapi pendatang tanpa izin sama ada yang menggunakan kad pengenalan palsu atau kad pengenalan projek sehingga membataskan hak rakyat tempatan menyertai UMNO.

"Budaya meminta-minta dan rasuah adalah budaya yang dibawa daripada negara asal mereka iaitu Indonesia, Filipina, India dan Pakistan. Mereka inilah yang menjahanamkan UMNO di Sabah sehingga rakyat tempatan memandang serong terhadap UMNO, namun ianya dihalalkan oleh pucuk pimpinan UMNO," ujar Ismail yang kesal kerana Majlis Tertinggi merestui semua ahli USNO diserap masuk ke dalam UMNO sekalipun kerakyatan mereka diragui terutama mereka yang tidak boleh mengundi walaupun telah lebih 30 tahun menetap di negara ini secara haram dan diberi suaka politik oleh pemimpin UMNO Sabah yang rakus kuasa.

Sehubungan itu, Ismail menggesa agar Majlis Teritinggi dan para Perwakilan yang akan menghadiri Persidangan Agung UMNO Pusat pada Mac 2009 agar dapat membuat resolusi untuk menyerahkan kes politik wang kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditubuhkan kerana beliau yakin Lembaga Disiplin UMNO tidak lagi berwibawa menangani isu rasuah politik di dalam UMNO dan hanya menghukum mereka yang tidak berjawatan atau berlainan pendapat dengan Majlis Tertinggi.

"Untuk apa kita ada dua undang-undang di Malaysia? Apakah Parlimen sudah menjadi kelas kambing dan terletak di bawah Lembaga Disiplin UMNO," tanya Ismail yang menggesa Lembaga Disiplin UMNO hanya menjalankan tugas menyuburkan rasa cinta terhadap parti dan meningkatkan mutu disiplin ahli dan menyerahkan tugas menghakimi rasuah politik kepada SPRM yang ditubuhkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong setelah melalui perbahasan yang serius di Dewan Rakyat dan di Dewan Negara.

Kini tibalah masa dan ketikanya, Lembaga Disiplin UMNO mengambil pendekatan secara harafiah dan holistik mendidik ahli UMNO agar sayang kepada parti dan meremajakan semula landasan perjuangan UMNO yang semakin lari daripada asas penubuhannya agar tidak ditolak rakyat Sabah yang masih sebati dengan USNO dan perjuangan nasionalisme glokal.

TELAGA TUJUH KUNAK LEBIH INDAH DARI TELAGA TUJUH LANGKAWI?


DAMAI....Salleh (kiri) sedang berbincang dengan pegawainya dalam usaha untuk meningkatkan taraf Telaga Tujuh.


Oleh IBRAHIM TABIR

KUNAK : Ahli Parlimen (MP) Silam, Haji Salleh Kalbi berkata, terdapat beberapa kawasan di daerah ini yang dilihat berpotensi untuk dimajukan sebagai tempat kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.

Biasanya kata Salleh, pelancong asing sukakan keindahan semulajadi dan panorama yang indah di Sabah dan Malaysia amnya.

Menyedari perlunya rakyat menjaga dan mempertahankan keunikan semulajadi sesuatu kawasan tertentu, usaha berterusan dan komitmen untuk mempopularkan sesuatu tempat supaya ia menjadi destinasi kunjungan pelancong amatlah dialu-alukan, kata Anggota Parlimen itu ketika melawat kawasan Telaga Tujuh yang terletak kira-kira empat kilometer dari pekan Kunak di sini.

Telaga Tujuh' merupakan kawasan yang sering dikunjungi oleh masyarakat sekitar sini ketika tahun 1980-an yang mana sekitar kawasan itu pada masa tersebut mempunyai tanaman semulajadi di sekitarnya dan panorama tersebut mengindahkan lagi suasana anugerah ciptaan Tuhan di situ yang tidak ternilai harganya.

Bagaimanapun, kerancakan pembangunan telah merubah lanskap kawasan sekitar itu yang sekarang ini kebanyakan tanaman pokok kelapa sawit mengelilingi kawasan tersebut .

Telaga Tujuh mendapat nama daripada kewujudan tujuh buah telaga di kawasan itu yang mana dikawasan itu juga terdapat anak sungai yang mengalir dan mengisi' telaga-telaga berkenaan.

"Keunikan yang terdapat pada telaga itu ialah mempunyai saiz yang berbeza-beza dan lebih indah daripada Telaga Tujuh di Langkawi," ujar Salleh yang tidak melepaskan peluang melawat sambil menikmati alam semula jadi.

Salleh yang kebetulan melawat Kampung Telaga Tujuh baru-baru ini dalam kawasan Zon Pangi di Kunak turut melakukan lawatan singkat ke kawasan Telaga Tujuh dan beliau kagum melihat keunikan serta keistimewaan tersendiri yang ada di kawasan telaga berkenaan .

Menurutnya, sebelum ini, kebanyakan pelancong asing yang datang ke Kunak mungkin hanya mengenali Gua Madai dan Air Terjun Madai yang terletak dalam Hutan Simpan Madai-Baturong.

Beliau juga bercadang untuk mengadakan perbincanagan dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan yang berkaitan bagaimana membangunkan kawasan Telaga Tujuh itu untuk menjadi tatapan dan destinasi pelancongan di Kunak.

Walaupun terdapat pembangunan pertanian di kawasan berhampiran, tidak mustahil kawasan Telaga Tujuh itu gagal dibangunkan kerana terdapat keistimewaan dan cerita yang menarik disebalik kewujudan anugerah ciptaan Tuhan di kawasan itu yang boleh memberi inspirasi kepada mereka yang sayangkan alam sekitar dan anugerah Ilahi.