Friday, January 23, 2009

BOM IKAN BERLELUASA DI SANDAKAN?



KEGIATAN menangkap ikan dengan bom sudah menjadi lumrah kepada nelayan Filipina yang menceroboh sempadan antarabangsa negara terutama berdekatan Pulau Bakungan yang polos tanpa kawalan.

Di kebanyakan kawasan, kegiatan pengeboman ikan sering berlaku sehingga memusnahkan ekosistem maritim terutama batu karang dan sumber hidupan laut lain yang terkena ledakan bom ikan.

Dalam kejadian pada 5 November 2008, dua orang lelaki Filipina dimasukkan ke wad ortopedik Hospital Duchess of Kent, Sandakan kerana letupan tangki gas.

Namun Pengarah Hospital berkenaan, Dr Zorina Khalid mengesahkan bahawa kecederaan parah mereka disebabkan oleh letupan bom ikan dan bukannya tangki gas memasak seperti yang mereka dakwa.

"Berdasarkan kepada kecederaan dan bentuk luka, hasil pemeriksaan kita, mereka terkena bom ikan,"ujar Dr Zorina yang memandang serius kes berkenaan terutama apabila melibatkan warga asing.

Berdasarkan dokumen yang ada pada mereka, Dr Zorina mengesahkan bahawa kedua-dua mereka, Julhasti Putuasah dan Muksan Ismail adalah warga Filipina kerana mereka memegang pasport Filipina ketika mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan.

Oleh kerana kes berkenaan telah diserahkan kepada polis, maka Dr Zorina tidak dapat memberikan ulasan lanjut.

Bagaimanapun mengikut siasatan mysabahkini, polis tidak mengambil tindakan lanjut untuk mendakwa mereka kerana memiliki dokumen yang sah dan setelah sembuh dua pelaku musnah alam sekitar bebas pulang ke negara mereka tanpa sebarang sekatan atau pemeriksaan Imigresen.

No comments:

Post a Comment