Monday, January 19, 2009

SHAFIE AFDAL SABOTAJ MUSA AMAN?



MANTAN Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 14 Januari 2009 memberitahu bahawa beliau telah menemui Datuk Shafie Afdal untuk meminta bantuan menyelesaikan kes pencerobohan Sipadan yang didakwa menjadi punca utama bantahan terhadap Patung Dewi Laut Ma Tzu.

Namun dalam keterangannya di hadapan Hakim Yew Jen Kie, Chong berkata," Saya tidak boleh memberi tahu perkataan sebenar yang diucapkan Musa Aman terhadap Shafie yang dituduh bersekongkol dengan saya mensabotaj projek Sipadan."

Menurut Chong, cadangan pengswastaan selama 25 tahun projek pelancongan yang dicadangkan oleh sebuah syarikat tempatan di Pulau Sipadan dan Ligitan telah ditolak oleh Jawatankuasa Bersama yang melawat pulau berkenaan sebelum ditolak oleh Kabinet Persekutuan.

Akibatnya berlaku perang mulut antara Musa Aman dengan Chong Kah Kiat yang dituding bersekongkol dengan Shafie yang ketika itu sebagai Ahli Parlimen Semporna dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Lonjakan daripada itu tercetus perang dingin antara Shafie dengan Musa yang berlanjutan dan disedari ramai pemimpin UMNO Sabah terutama menjelang pilihanraya umum 2008 dan selepas Perdana Menteri mengumumkan pelan peralihan kuasa kepada pemimpin Pro-Shafie.

Mengikut sumber dalaman UMNO yang boleh dipercayai, sebagai persediaannya untuk mengukuhkan kuasa dan jentera pentadbiran, Musa telah melantik Pengurus Besar Kumpulan Yayasan Sabah, Daud Tampokong ke jawatan asalnya walaupun ketika siasatan Badan Pencegah Rasuah penghujung tahun lalu, Daud telah meletakkan jawatan.

Manakala Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah, Datuk Kadzim Yahya telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Sabah menggantikan Datuk Zaki Gusmiah yang kini tidak lagi relevan dengan perjuangan Musa untuk menyelamatkan karier politiknya.

Sebaliknya, Shafie sudah mula mencadangkan adiknya, Haji Mohd. Yusof, iaitu mantan Ketua UMNO Silam yang pernah digantung kepada politik wang sebagai Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah apabila beliau mengambil alih jawatan Ketua Perhubungan UMNO Sabah kelak serentak dengan pelan peralihan kuasa Pak Lah kepada Najib.

Namun ramai pemimpin UMNO daripada peringkat bawah dan pertengahan mula membisikkan rasa tidak puas hati yang kebanyakannya menentang pelan peralihan kuasa yang tidak menguntungkan ahli UMNO kerana banyak isu kepimpinan belum dapat diperjelaskan dengan baik sehingga menjadi salah satu punca kekalahan UMNO pada pilihanraya Kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu.

"Pak Lah masih lagi mampu, berilah dia peluang meneruskan kepimpinan dan menyiapkan visinya. Masa yang semakin suntuk akan menyebabkan semua kucar kacir kerana pihak yang ingin menerima kuasa tidak sabar dan pihak mahu menyerahkan kuasa semakin gelisah disebabkan banyak hal yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh peralihan yang dicadangkan," ujar Malik Rahmat seraya meminta meminta agar Pak Lah menangguhkan hasratnya selama satu penggal lagi kerana keadaan negara sudah mula pulih walau kemelesetan ekonomi masih terasa.

Kata Malik, ketika Tun Mahathir mengambil alih jawatan daripada Tun Hussin, ekonomi juga gawat tetapi Pak Lah lebih bijak daripada Mahathir dan berjaya menyerap kegawatan dengan membatalkan banyak projek mega yang tidak menguntungkan kerajaan dan rakyat.

No comments:

Post a Comment