Monday, January 26, 2009

MASIH ADAKAH YANG SAYANG PADAKU?


Oleh: ISMAIL MOHD ROSLI
Blogger: www.gempursabah.blogspot.com









PRIHATIN.......Abdul Rahman (kiri sekali) berbual dengan Timbun (kanan sekali) sambil Buhu (tengah) mendukung Adly.

"MASIHKAH ada yang sayang padaku?"

Begitulah mungkin runtunan batin yang meronta di dalam minda Aldy Timbun dalam bahasa bisu yang tidak dimengertikan apabila melihat ramai orang berkunjung ke rumahnya di Kampung Lasau Posi, Kota Belud.

Betapa berat pandangan mata, berat lagi penderitaan yang ditanggung Aldy, seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan kerana kepalanya semakin membesar dari sehari ke sehari.

Aldy tidak menyedari bahawa salah seorang tetamu ke rumahnya, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang begitu prihatin setelah mendengar penderitaan keluarga Aldy yang terpaksa merintih dalam kepayahan hidup menguis rezeki untuk mendapatkan rawatan terbaik buat Aldy.

Rahman sedar tiada apa yang diingini oleh seorang pengundinya, Timbun Tambakau, 46, dan isterinya Buhu Tongkisus, 33, selain ingin melihat anak bongsu dari sembilan orang anak mereka yang lain, membesar dan hidup sihat seperti bayi lain.


DERITA....Bayangkanlah penderitaan Aldy yang sukar untuk diterjemahkan dengan pena dan perkataan.


Namun kedua-dua pasangan suami isteri ini terpaksa pasrah menerima takdir terhadap apa yang terjadi kepada anak bongsu mereka kerana kesukaran menjalani kehidupan menyebabkan hanya doa yang menjadi penawar penderitaan anak mereka.

Menurut Buhu, keadaan hidup mereka bertambah sukar apabila perbelanjaan yang diperlukan untuk pembedahan di hospital tidak dapat mereka kumpulkan disebabkan pendapatan seorang petani tradi yang tidak menentu.

"Kami telah membawa Aldy ke hospital yang berdekatan dan doktor yang merawatnya memberitahu kami penyakit Aldy perlu dirujuk ke hospital di Kota Kinabalu untuk pemeriksaan lanjut sebelum menjalani pembedahan," kata Buhu yang tidak dapat menahan gelodak perasaan sehingga matanya berkaca kepiluan.

Menurut Buhu, mereka tidak akan berputus asa untuk mengumpul wang hasil daripada pekerjaan suaminya sebagai petani sara diri yang ibarat kata pepatah, kasi pagi belum tentu makan petang semata-mata untuk mendapatkan rawatan terbaik buat Aldy.

"Saya berterima kasih kepada YB kita yang sudi menghulurkan bantuan. Hanya Tuhan sahaja yang boleh membalas budi YB," kata Buhu dalam keadaan sebak kerana cuba membendung air mata yang melimpah melewati kelopak matanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman memberi jaminan beliau akan berusaha untuk memastikan Aldy mendapat rawatan terbaik di Hospital Kerajaan dan telah mengarahkan pegawainya membantu keluarga berkenaan.

"Saya akan memastikan kanak-kanak ini mendapatkan rawatan dan berdoa agar segera sembuh dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain," ujar Rahman sambil mengenggam erat tangan Aldy yang belum mengerti keperitan hidup ibu bapanya sejak dilahirkan.

Hadir sama pada sesi lawatan itu Pegawai Kanan Perhubungan Parlimen Kota Belud, Idris Nanti, Pegawai Perhubungan Parlimen Kota Belud Kawasan DUN Usukan, Aslee Perlin, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kota Belud, Roslan Duraman serta para pemimpin setempat yang lain.

No comments:

Post a Comment