Saturday, January 17, 2009

AURA KUALA TERENGGANU KE PENSIANGAN!


KUNCI...Semua parti yang akan bertanding perlu mencari isu yang sesuai sebagaimana lumrahnya mencari anak kunci kepada mangga yang tepat.

ISU Patung Ma Tzu di Sabah telah menjadi isu hangat yang diperkatakan pemerhati politik telah menjadi isu Nasional kerana melibatkan kepercayaan dan turut mengheret Perlembagaan Persekutuan.

Kekalahan calon Barisan Nasional kepada calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009 dengan majoriti yang terlalu besar telah memberi impak yang ketara terhadap kepimpinan Barisan Nasional.

Dalam keadaan yang menunjukkan hakisan pengaruh setelah gagal merampas kerusi Permatang Pauh, kehilangan kerusi Kuala Terengganu dan peralihan kiblat dua ahli parlimen SAPP, menyebabkan Barisan Nasional terpaksa membuat post mortem bagi menilai semula kesilapan besar yang mereka lakukan sehingga semakin tergelincir di hati rakyat.

Selepas 19 Februari 2009, jika Mahkamah Rayuan yang bersidang di Kota Kinabalu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berasaskan prinsip Undang-Undang Pilihanraya, maka kemungkinan kebarangkalian Barisan Nasional akan kehilangan lagi kerusi amat besar. terutama jika mengulangi kesilapan Kual Terengganu.

Faktor Calon menjadi penentu kepada kemenangan dan kekalahan Barisan Nasional kerana Pakatan Rakyat tidak akan kerugian apa-apa jika mereka gagal merampas kerusi Pensiangan.

Kebangkitan kaum Murut yang mempunyai sejarah dendam kerana telah dikhianati oleh kaum Dusun iaitu moyang Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Panglima Ginsanad Kina mula terserlah dengan kemenangan Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Rubin Balang mendesak Barisan Nasional berbuat sesuatu untuk mengubati hati masyarakat Murut yang terpinggir.

Sebagai Presiden Persatuan Murut Sabah (PMS), Rubin sewajarnya dipilih sebagai calon yang sesuai sejajar dengan usaha murni untuk membuat penataran semula pengaruh Barisan Nasional di Sabah setelah pelbagai isu genting melunturkan sokongan murut di Pensiangan.

UMNO harus memecahkan tembok yang selama ini hanya membenarkan seorang calon hanya mewakili satu kerusi dun atau parlimen sahaja kerana dalam saat genting seperti ini, Rubin telah berjaya membina keyakinan kaum Murut untuk memperjuangkan nasib mereka yang selama ini dianggap sebagai masyarakat Kelas Tiga atau Paria dalam hiraki politik Sabah.

Kegagalan Ketua Menteri menyelesaikan isu kampung tradisi Murut yang hampir kesemuanya terletak di dalam hutan simpan dan keengganan Pengarah Perhutanan Sabah membenarkan kemudahan Skim Bekalan Air dan Elektrik dibina di kampung yang bersetinggan di dalam hutan simpan telah membakar semangat kaum Murut untuk membela nasib mereka sendiri.

Dalam hal ini, mengekalkan Tan Sri Joseph Kurup atau meletakkan semula Datuk Bernard Maraat bagaikan menggantikan Colgate dengan Sparkle, sedangkan penduduk Pensiangan memerlukan Berus Gigi!

Pakatan Rakyat juga mengalami kesukaran yang bukan senang untuk diselesaikan kerana akan menjadi medan untuk menguji pengarah Anwar Ibrahim yang kini Pengerusi Perhubungan Sabah dan Sarawak.

Jika Najib yang diwar-warkan akan menjadi Perdana Menteri selepas Pak Lah berundur Mac 2009 telah 'kecundang' di Kuala Terengganu kerana faktor Calon dan ketandusan isu, maka kini beban tersebut terletak di bahu Anwar yang belum memahami urat saraf partinya di Sabah yang gagal memenangi sebarang kerusi kerana dibebani dengan faktor calon.

Walaupun Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan atau Mantan Calon yang lalu, Danny Andipai diwar-warkan akan diturunkan untuk menjadi 'RAMBO' dalam politik Sabah di peringkat Persekutuan, namun kedua-dua calon ini akan melalui jalan sukar kerana kebangkitan assobiyah kaum Murut yang selama ini merasakan diri mereka tertindas.

Cara terbaik bagi Anwar memastikan Pakatan Rakyat mempunyai kerusi sulung di Sabah ialah dengan mencari seorang 'Komando' di kalangan kaum Murut yang mempunyai latar belakang yang baik untuk menjadi asas pertapakan Parti Keadilan Rakyat di Sabah setelah gagal memenangi sebarang kerusi sejak 1999.

Sehubungan itu, saya akan menumpukan lebih banyak masa di Parlimen Pensiangan yang akan memberi ruang dan peluang kepada semua pihak menyalurkan maklumat dan menjadikan portal ini sebebas-bebasnya tertakluk kepada Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia serta Etika Kewartawanan.

No comments:

Post a Comment