Friday, January 30, 2009

TELAGA TUJUH KUNAK LEBIH INDAH DARI TELAGA TUJUH LANGKAWI?


DAMAI....Salleh (kiri) sedang berbincang dengan pegawainya dalam usaha untuk meningkatkan taraf Telaga Tujuh.


Oleh IBRAHIM TABIR

KUNAK : Ahli Parlimen (MP) Silam, Haji Salleh Kalbi berkata, terdapat beberapa kawasan di daerah ini yang dilihat berpotensi untuk dimajukan sebagai tempat kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.

Biasanya kata Salleh, pelancong asing sukakan keindahan semulajadi dan panorama yang indah di Sabah dan Malaysia amnya.

Menyedari perlunya rakyat menjaga dan mempertahankan keunikan semulajadi sesuatu kawasan tertentu, usaha berterusan dan komitmen untuk mempopularkan sesuatu tempat supaya ia menjadi destinasi kunjungan pelancong amatlah dialu-alukan, kata Anggota Parlimen itu ketika melawat kawasan Telaga Tujuh yang terletak kira-kira empat kilometer dari pekan Kunak di sini.

Telaga Tujuh' merupakan kawasan yang sering dikunjungi oleh masyarakat sekitar sini ketika tahun 1980-an yang mana sekitar kawasan itu pada masa tersebut mempunyai tanaman semulajadi di sekitarnya dan panorama tersebut mengindahkan lagi suasana anugerah ciptaan Tuhan di situ yang tidak ternilai harganya.

Bagaimanapun, kerancakan pembangunan telah merubah lanskap kawasan sekitar itu yang sekarang ini kebanyakan tanaman pokok kelapa sawit mengelilingi kawasan tersebut .

Telaga Tujuh mendapat nama daripada kewujudan tujuh buah telaga di kawasan itu yang mana dikawasan itu juga terdapat anak sungai yang mengalir dan mengisi' telaga-telaga berkenaan.

"Keunikan yang terdapat pada telaga itu ialah mempunyai saiz yang berbeza-beza dan lebih indah daripada Telaga Tujuh di Langkawi," ujar Salleh yang tidak melepaskan peluang melawat sambil menikmati alam semula jadi.

Salleh yang kebetulan melawat Kampung Telaga Tujuh baru-baru ini dalam kawasan Zon Pangi di Kunak turut melakukan lawatan singkat ke kawasan Telaga Tujuh dan beliau kagum melihat keunikan serta keistimewaan tersendiri yang ada di kawasan telaga berkenaan .

Menurutnya, sebelum ini, kebanyakan pelancong asing yang datang ke Kunak mungkin hanya mengenali Gua Madai dan Air Terjun Madai yang terletak dalam Hutan Simpan Madai-Baturong.

Beliau juga bercadang untuk mengadakan perbincanagan dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan yang berkaitan bagaimana membangunkan kawasan Telaga Tujuh itu untuk menjadi tatapan dan destinasi pelancongan di Kunak.

Walaupun terdapat pembangunan pertanian di kawasan berhampiran, tidak mustahil kawasan Telaga Tujuh itu gagal dibangunkan kerana terdapat keistimewaan dan cerita yang menarik disebalik kewujudan anugerah ciptaan Tuhan di kawasan itu yang boleh memberi inspirasi kepada mereka yang sayangkan alam sekitar dan anugerah Ilahi.

No comments:

Post a Comment