Thursday, January 29, 2009

TIPS MUDAH UNTUK MEMULAKAN PERNIAGAAN

OLEH: NIK ZAFRI ABDUL MAJID




(Berikut saya perturunkan sedikit 'tips' jika anda ingin menjadi seorang ahli perniagaan yang baik. Tips ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri dan bergaul dengan ahli-ahli perniagaan serta usahawan-usahawan berjaya...InsyaAllah)

Pada suatu hari, anda mendapat ilham untuk memulakan satu perniagaan baru. Anda mempunyai penuh keyakinan bahawa perniagaan ini akan "meletup". Anda begitu ceria dan bersungguh-sungguh untuk merealisasikan mimpi anda.

Tiba-tiba anda merasakan anda belum cukup bersedia....jadi apakah yang perlu anda lakukan?

Dapatkan beberapa helai kertas atau buku nota kecil dan tuliskan idea anda. Walaupun ianya hanya draf tatkala ini, namun simpan idea yang telah anda tulis...mungkin ianya akan diperlukan - apabila tiba masanya kelak.

Kadangkala walaupun anda terlupa membawa buku nota anda sekalipun, tiba-tiba perkara itu dibangkitkan oleh rakan anda atau pengurus anda dalam satu mesyuarat, anda akan pasti dapat mengingati apa yang telah anda tulis...menakjubkan!

(Seorang rakan ahli perniagaan pernah memberitahu saya bahawa kalau kita mendapat satu idea perniagaan yang baik, kita perlu segera memulakannya kerana terdapat satu 'gelombang minda' yang dipancarkan dari pemikiran kita sehingga terdapat manusia lain yang akan 'menerimanya' dan terus melakukannya jika kita lambat bertindak)

Jika anda ingin menyegerakan perniagaan anda, teruskan dengan membuat draf perancangan dan strategi perniagaan anda. Elemen-elemen utama yang perlu anda pertimbangkan ialah kemungkinan membuat pinjaman, mendapat pembiayaan dan pelaburan, mengemukakan cadangan anda kepada lain-lain rakan sekutu dan lain-lain. Anda tidak akan mendapat perhatian jika anda tidak mempunyai elemen-elemen ini dalam cadangan anda.

Di saat anda memerhatikan kembali idea yang telah anda tuliskan lebih-lebih lagi melihatnya dicetak dengan komputer, anda pasti akan mempunyai semangat yang berkobar-kobar untuk meneruskan perniagaan anda.

Mungkin selepas menulisnya, anda merasakan anda tidak tahu di mana anda perlu bermula. Mungkin anda dapat membuat misi, objektif dan sasaran anda. Tuliskan satu ringkasan perancangan perniagaan anda. Tuliskan Ringkasan Eksekutif, Produk/Perkhidmatan yang ingin dibekalkan, strategi pemasaran, pemasaran sasaran, persaingan, analisa kewangan dan profail kakitangan kunci.

Terdapat perkara-perkara lain dalam perancangan anda, namun untuk peringkat permulaan, memadailah dengan apa yang telah disebutkan diatas.

Anda juga perlu mendapatkan khidmat nasihat guaman atau rakan-rakan yang berpengalaman dan mempunyai pengetahuan perundangan bagi memastikan perniagaan anda adalah sah di sisi undang-undang. Apa yang sering mengecewakan usahawan ialah selepas begitu rajin berusaha; tiba-tiba; tanpa disedari; anda telah melanggar undang-undang yang mengakibatkan anda terpaksa bermula kembali dari "A".

Anda juga perlu mendapat nasihat seorang Akauntan (kecuali jika anda mampu melakukannya sendiri) untuk menggunakan helaian hamparan (umpamanya MS Excel dan Lotus 1-2-3 sebagai permulaan), perisian perakaunan, dan menulisnya dalam buku demi haluan pengurusan kewangan anda, ramalan masa hadapan dan lain-lain. Ini hanya boleh anda lakukan dalam tempoh permulaan perniagaan. Jika perniagaan anda berkembang maju, anda tidak lagi mempunyai masa dan anda mungkin terpaksa melantik seseorang yang boleh menjaga turnover wang syarikat anda.

Semua perniagaan memerlukan elemen R & D. Sebagai aktiviti penambahbaikan di peringkat pra-perniagaan, anda perlu melakukan satu bentuk mock-up atau trial-run ke atas draf perancangan perniagaan anda. Caranya ialah membuat satu bentuk 'pemasaran terbuka' menerusi e-mail, homepej, flyers dsb bagi menguji permintaan pasaran. Anda perlu melakukan analisa data (dari banyak aspek/dimensi) sehingga statistik akhir (seperti Pareto) dapat diadakan. Salah satu 'tip' menarik pasaran Malaysia ialah memberikan cenderamata sekurang-kurangnya sebatang pen dan sebagainya kepada mana-mana pelanggan yang menunjukkan minat samada dalam konteks prospek pelaburan dan pembiayaan atau hanya sekadar menjawab borang maklumbalas sepenuhnya dengan idea dan cadangan yang baik. Aktiviti ini dapat memberikan lebih ruang untuk anda meningkatkan kualiti perniagaan anda sebelum benar-benar memulakannya secara realiti.

Mungkin juga anda mempunyai seorang rakan perniagaan yang anda kenal dan telah lama berkecimpung dalam bidang yang anda ingin ceburi, atau sekurang-kurangnya berkecimpung dalam bidang yang mirip dengan perniagaan yang bakal dimulakan. Dapatkan nasihat, panduan dan "kata-kata hikmat" darinya. Jangan "kedekut" atau "malu" untuk menunjukkan draf perancangan perniagaan anda kerana takut "diambil/dicuri" atau "disindir/diperli" oleh rakan anda. Mana tahu, dia mungkin menjadikan anda sebagai rakan kongsinya atau memberikan bantuan pembiayaan dan khidmat nasihat perniagaan dan semuanya akan bermula!

1 comment:

  1. Jika anda mempunyai masalah kewangan, maka sudah tiba masanya untuk anda tersenyum. Anda hanya perlu menghubungi Encik Benjamin dengan jumlah yang anda mahu pinjam dan tempoh pembayaran yang sesuai dengan anda dan anda akan mempunyai pinjaman anda dalam masa kurang dari 48 jam. Saya hanya mendapat manfaat untuk keenam kali pinjaman sebanyak 700 ribu dolar untuk tempoh 180 bulan dengan kemungkinan membayar sebelum tarikh tamat tempoh. Jadikan kenalan dengannya dan anda akan melihat bahawa dia seorang lelaki yang jujur dengan hati yang baik. E-melnya adalah lfdsloans@lemeridianfds.com dan nombor telefon WhatAppnya ialah + 1-989-394-3740

    ReplyDelete