Monday, January 19, 2009

MA TZU KUASA PENENTU PENSIANGAN DAN PERALIHAN KUASA?


WALAUPUN Faktor Ma Tzu dikhabarkan telah berjaya menjadi Isu kempen utama di kalangan kaum Cina yang menjadi golongan atas pagar sehingga beralih arah kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu, namun gerakan kuasa rakyat akan menala gegaran tsunami ke Pensiangan dan dijangka menggganggu pelan peralihan kuasa Mac 2009.

Menurut Ustaz Ghazali, kita diingatkan junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w, "jangan sekali-kali kamu menzalimi tuhan orang lain kerana nescaya mereka akan menghina Tuhan kamu."

Namun kata pendakwah bebas ini, pemimpin UMNO seperti Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman dikhuatiri telah menggunakan isu Patung Dewi Laut Ma Tzu untuk kepentingan peribadi sehingga menyebabkan perletakan jawatan Tan Sri Chong Kah Kiat dan terkini Peguam Negeri Sabah, Datuk Roderick Fernandez yang terpana untuk memilih kerjaya atau berundur secara holistik.

Dalam keterangan pada 14 Januari 2009, seorang saksi, Sebastian Lim, Pegawai Daerah Kudat telah mendedahkan bahawa beliau dan seorang pegawainya, Ariff telah dijemput menghadiri mesyuarat khas pada 15 November 2007 di Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah yang dipengerusikan sendiri oleh Datuk Roderick Fernandez.

Sebastian yang mula bertugas sebagai Pegawai Daerah Kudat sejak 8 Jun 2001 juga Pesuruhjaya Lembaga Bandaran Kudat memberitahu bahawa mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh seorang peguam kanan, Pengarah Tanah dan Ukur (Datuk Osman Jamal), Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (Moshidi)dan seorang lagi pegawai yang tidak dikenali.

"Mengikut Pengerusi iaitu Peguam Negeri, kami tidak mematuhi Seksyen 15 Ordinan Perancang Bandar dan Pegawai Kerja diarah menandatangi surat penarikan balik surat kelulusan pelan berkenaan," ujar Sebastian ketika disoal Peguam Haji Ansari Abdullah yang mewakili Chong Kah Kiat.

Kata Sebastian lagi, Peguam Negeri Sabah selaku pengerusi mesyuarat mengarahkan Ariff menandatangani surat penarikan balik kelulusan pelan pembangunan Patung Ma Tzu.

"Tetapi Ariff membawa balik surat berkenaan kerana perlu menggunakan kepala surat Lembaga Bandaran Kudat," ujar Sebastian yang tidak menyuarakan sebarang bantahan kerana memikirkan masalah dengan projek akan datang agar kejadian ini tidak berulang.

Bagaimanapun, Ansari mencadangkan kepada Mahkamah agar Datuk Roderick tidak menyoal balik Sebastian kerana beliau adalah orang yang mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan.

Senario ini dikatakan menjadi salah satu punca Peguam Negeri Sabah meletakkan jawatan sehingga kes berkenaan tertangguh.

Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang disambung semula pagi tadi (19 Januari 2009) setelah ditunda selama dua hari bagi membolehkan pendengaran kes rayuan Tan Sri Joseph Kurup, akhirnya terbantut apabila Pembantu Peguambela Musa Aman, Hanafiah, memberitahu Hakim Liew Jen Kie bahawa Peguambela Utama, Datuk Roderick Fernandez telah meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negeri Sabah dan Peguam yang mewakili Datuk Musa Aman berkuatkuasa 16 Januari 2009.

Sehubungan itu, Hanafiah meminta tarikh baru agar peguambela yang dilantik, Richard Barnes daripada Tetuan Shelly Yap mempunyai cukup masa untuk mengkaji fail dan menyediakan nota pembelaan.

Kes berkenaan telah ditetapkan untuk disambung pada 4 Mei 2009, iaitu suatu jangka masa melampaui kes Pilihanraya Kecil Pensiangan yang akan didengar pada 19 Februari 2009 dan dijadualkan diadakan pilihanraya kecil dalam tempoh 60 hari daripada tarikh (jika) Kes rayuan ditolak.

Paling penting, penundaan kes perbicaraan Ma Tzu akan memberi ruang yang cukup luas kepada pelan peralihan kuasa yang dijadualkan pada Mac 2009 tanpa sebarang gangguan terutama isu sensitif seperti ke Ma Tzu yang telah dikirim sebagai panah beracun yang berbisa dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

"Masalah utama yang dibimbangkan Musa ialah pelan peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Najib kerana akan memberi kesan yang besar. Sudah pastinya akan berlaku perubahan jawatan Ketua Menteri dan Ketua Perhubungan UMNO Sabah. Apatah lagi, Musa terpaksa bertanding untuk merebut jawatan Naib Presiden atau mengekalkan jawatan Ahli Majlis Tertinggi jika ingin terus bertahan dalam hiraki politik," ujar Datuk M, seorang Ketua Bahagian yang turut bimbang kes ini akan mengganggu kelancaran kempen UMNO dan pelan peralihan kuasa.

Menurut Datuk M, peluang pemimpin Sabah akan lebih terbuka luas jika Musa tidak merebut sebarang jawatan dan akur dengan keputusan pucuk pimpinan bagi mengelakkan rakyat Sabah akan menghukum Barisan Nasional dan UMNO pada pilihanraya kecil Pensiangan (jika rayuan ditolak) dan pilihanraya umum akan datang.

"Saya bukan anti Musa, tetapi saya mahu mencari yang terbaik di antara yang terbaik. Walaupun Musa belum diputuskan bersalah di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, tetapi demi menjaga maruah kerajaan,ada baiknya Musa berundur. Kita tidak mahu Musa menjadi liabiliti kepada UMNO terutama selepas perletakan jawatan Peguam Negeri dan perbicaraan ini ditunda selama empat bulan lagi," ujar Datuk M yang mahukan pucuk pimpinan UMNO mencari jalan penyelesaian terbaik agar saman Chong Kah Kiat dapat dibatalkan demi keharmonian rakyat Sabah yang hidup aman damai.

Dalam pada itu, Mantan Ketua Daerah Sandakan, Hassnar M.P.Ebrahim yang menelefon blog ini selepas mendapat tahu perletakan jawatan Peguam Negeri Sabah, turut mencabar Mufti Negeri sabah, Datuk Haji Ahmad Alawi agar meletakkan jawatan secara bermaruah dan tidak menjadi alat pemimpin yang 'menyewa' Islam demi kepentingan politik mereka.

"Jangan terlalu hipokratit dan fanatik kepada pemimpin. Mufti berada di kedudukan paling tinggi dalam Institusi agama selepas Tuan yang Terutama dan amat memalukan jika Mufti mengikut telunjuk pemerintah. Dia mesti meletakkan jawatan jika ada maruah dan rasa bersalah kerana tindakannya memalukan agama Islam," ujar Hassnar yang kesal kerana Mufti dijadikan budak suruhan untuk mengeluarkan fatwa kepada bukan Islam.

Kata Hassnar, artikel 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan sudah cukup jelas dan tidak lagi perlu diperjelaskan dengan fatwa kerana fatwa hanya diterima pakai dan berkuatkuasa terhadap penganut beragama Islam.

"Mengikut undang-undang, Mufti sewajarnya disiasat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana telah menggunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi dengan mengeluarkan fatwa yang bercanggah dengan undang-undang yang berkuatkuasa sehingga mengheret seluruh umat Islam di Sabah ke kancah kehinaan dan cemuhan masyarakat Cina yang kebanyakannya penganut Ma Tzu," ujar Hassnar yang menggesa agar perlantikan Mufti hanya diberikan kepada mereka yang arif tentang agama Islam.

No comments:

Post a Comment