Saturday, January 17, 2009

MA TZU ISU NASIONAL?



MAHKAMAH Tinggi Kota Kinabalu telah memulakan prosiding perbicaraan kes saman Pengerusi Yayasan Thien Hou Kudat, Tan Sri Chong Kah Kiat terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan tiga yang lain sejak 13 Januari 2009.

Isu Ma Tzu telah digunakan secara meluas dalam kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu untuk meraih undi kaum Cina yang menjadi penentu sejak beberapa pilihanraya lalu, terutama apabila Dun Bandar, Parlimen Kuala Terengganu dimenangi calon MCA pada pilihanraya umum 2008, Toh Chin Yaw.

Sama ada pengundi Cina benar-benar tersinggung dan memilih calon pakatan rakyat bukanlah isu di Sabah, tetapi Fasal 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan membuatkan isu Ma Tzu telah menjadi isu negara kerana 'mencemuh Perlembagaan Persekutuan.'

Blog ini akan menyiarkan nota prosiding kes berkenaan dari mula hingga akhir bagi membolehkan rakyat Malaysia menilai sistem kehakiman dan sistem penyampaian yang diamalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Mengikut Fasal 3 iaitu UGAMA BAGI PERSEKUTUAN, Perlembagaan memaktubkan;

(1) Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

(2) Dalam tiap-tiap Negeri melainkan Negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua ugama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan juga, tertakluk kepada perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercacat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua ugama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.

(3) Perlembagaan-perlembagaan bagi Negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi kepada Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua ugama Islam dalam Negeri itu.

(4) Tiada apa-apa dalam Perkara ini mengurangkan kuasa mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini.

(5) Walau apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua ugama Islam dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan; dan bagi maksud ini Parlimen boleh dengan undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengadakan peraturan mengenai hal-ehwal ugama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara berhubung dengan ugama Islam.

Begitu juga dengan Fasal 11 iaitu KEBEBASAN UGAMA yang memberi jaminan bahawa;

(1) Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya.

(2) Tiada sesiapa pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai jika pendapatan dari cukai itu adalah diuntukkan khas sama ada kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud-maksud sesuatu ugama yang lain daripada ugamanya sendiri.

(3) Tiap-tiap kumpulan ugama adalah berhak -

(a) menguruskan hal-ehwal ugamanya sendiri;

(b) menubuh dan menyenggara yayasan-yayasan bagi maksud-maksud ugama atau khairat; dan

(c) memperolehi dan mempunyai harta serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.

(4) Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan undang-undang am mengenai ketenteraman awam, kesihatan awam atau akhlak.

Sehubungan itu, memandangkan Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di Malaysia, maka segala peraturan atau undang-undang yang bertentangan dengannya adalah terbatal dengan sendirinya.

Mengikut Fasal 4, UNDANG-UNDANG UTAMA PERSEKUTUAN dinyatakan bahawa;

(1) Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.

No comments:

Post a Comment