Friday, January 23, 2009

SINAR KASIH HARAPAN PAYUNGI EHSAN KE TABUNG GAZA


HULUR....Datin Raya menghulurkan sumbangan Tabung Gaza kepada Wakil TV3, Yazzer Mahmun.

MAJLIS Sinar Kasih Harapan yang dilancarkan oleh Pengerusi Yayasan Kebajikan Suria, Datin Seri Raya Erom di Desaria, Nombor 4, Lorong Likas, Kota Kinabalu telah memberi harapan memayungi ehsan ke Tabung Gaza walaupun motif asalnya untuk warga tempatan Sabah berkongsi pengalaman dan menghayati realiti kehidupan.

"Ilham seindah sinar suria ini dicipta untuk meniti perjalanan hari esok, hargailah kehidupan. Usah bersedih kerana masih ada sinar. Sesungguhnya selepas kesukaran pasti ada kejayaan," antara untaian bait puisi yang melingkari ucapan perasmian Datin Raya yang mengheret sejenak kegelisahan Genting Gaza yang baru dilanda musibah.

Tegas Datin Raya,kesederhanaan menjalani kehidupan berjaya menenggelamkan pelampung kemiskinan yang merantai kehidupan kebanyakan wanita.

"Kita harus kembali mempercayai diri untuk mengubah nasib kita dengan berkongsi masalah dan melepaskan beban fikiran yang digalas," ujar Datin Raya sambil mengerling sendu dengan mata yang tidak terkedip ke arah 60 anak yatim daripada Rumah Yayasan Kebajikan Suria yang khusyuk mendengar ucapan ringkasnya.

Majlis yang dibuat penuh kemesraan melalui jalinan suasana muhibbah dipahat keinsafan, memberi ruang dan peluang kepada mereka yang bernasib walang dan hidup dalam kesusahan berkongsi pendapat, muhasabah diri tentang realiti kehidupan, meluahkan isi keperitan yang terbuku di hati, menganjur jalan penyelesaian, membina pemikiran positif dan mengeratkan silaturahim tanpa mengira asal keturunan dan anuta agama.

Sebagai pemangkin dan halwa minda, seorang pakar motivasi terkenal, Professor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi diterbangkan khas untuk memberikan ceramah yang berjodol 'Sinar Kasih Harapan' yang menjadi tema majlis berkenaan yang turut dihadiri oleh wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan, Pakar Akademik, Aktivis Masyarakat dan para dermawan yang menghulurkan bantuan untuk Tabung Gaza bagi meringankan penderitaan warga Palestin yang baru bangkit dari kemusnahan akibat serangan jenayah perang Israel.

Wakil Tv3, Yazzer Mahmun, menerima sumbangan daripada tetamu majlis berkenaan yang disampaikan Datin Raya bagi pihak Tabung Gaza.

Walaupun Majlis berkenaan dibuat secara sederhana, namun tetamu turut gembira dengan sumbangan rantai kunci istimewa daripada Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said yang turut menghadiri majlis berkenaan.































SEKEPING Gambar memberi makna
seribu perkataan. Lapan keping gambar
memberi makna lapan ribu perkataan.
Tafsirlah mengikut firasat dan makrifat!


Kraftangan yang kecil tetapi memberi makna
yang besar kepada Industri Kraftangan Negara
di tangan seorang pemimpin yang bervisi global.

No comments:

Post a Comment