Thursday, January 22, 2009

PENSIANGAN DALAM GENGGAMAN: ANWAR



KETUA Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melonjakkan harapan rakyat Sabah untuk melihat perubahan di Sabah dengan menawan kerusi Parlimen Pensiangan, sekiranya Mahkamah Rayuan yang akan bersidang pada 19 Februari 2009 di Kota Kinabalu menolak rayuan Tan Sri Joseph Kurup.

"Buat sementara waktu, kerusi Pensiangan belum kosong kerana itu kita tidak mengumumkan siapa yang akan bertanding," ujar Anwar ketika menjawab soalan daripada Datu Sebastian Datu Panglima Banting dalam suatu majlis makan malam dan dialog dengan peniaga dan pertubuhan bukan kerajaan di sebuah hotel terkemuka.

Menurut Anwar, jika semangat Permatang Pauh dan Kuala Terengganu diamal dan ditingkatkan, sudah pasti kerusi Pensiangan dalam genggaman Pakatan Rakyat.

"Ketika saya bertanding di Permatang Pauh, bukan calon Keadilan yang bertanding, tetapi saya calon Pakatan Rakyat sehingga rakan kita berkempen seolah-olah calon mereka yang bertanding. Begitu juga di Kuala Terengganu, rakan kita DAP turun membantu calon Pas dengan belanja mereka sendiri," ujar Anwar yang berbangga dengan kebangkitan semangat dan kerjasama Pakatan Rakyat.

Dalam mesej terbaru, 'Perubahan Satu Kemestian' Anwar meminta agar lebih banyak program memasyarakatkan pemimpin dijanakan kerana rakyat kebanyakan sukar menemui beliau disebabkan kesuntukan masa dan program tertutup yang membataskan mereka.

"Dalam program akan datang, kita akan buat di kawasan kampung agar lebih ramai rakyat datang berjumpa dan saya tidak galakkan amalan membebankan rakyat seperti ini," ujar Anwar sebagai menjawab soalan daripada Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Zainuddin Hassan.

Zainuddin dalam soalannya meluahkan aspirasi rakyat bawahan yang kesal dan kecewa kerana tidak mampu membayar RM1,000 bagi harga jamuan sebuah meja dalam mana-mana perjumpaan bersama Anwar, termasuk pada malam semalam.

"Saya mahu tanya, ke mana perginya wang pungutan kegiatan menjual meja ini sedangkan saya mendapat tahu program majlis makan malam pada malam ini telah ditaja sepenuhnya? Kenapa harus bebankan rakyat biasa yang ingin berjumpa dan bersama pemimpin mereka?" ujar Zainuddin yang mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Zainuddin kesal kerana ada pihak tertentu di dalam PKR Sabah bertindak di luar batasan dengan 'menculik' Ketua Umum Keadilan kerana mengikut program asal Angkatan Muda PKR telah diamanahkan mengatur program lawatan beliau ke Sabah.

"Datuk Seri Anwar ,milik rakyat Malaysia dan adalah tidak wajar pemimpin tertentu di Sabah 'menculik' beliau setiap kali beliau menjejakkan kaki ke Sabah. Rakyat ingin beramah mesra dengan Datuk Seri tetapi mereka telah dihalang dan senario ini amat bahaya kepada kemaraan Pakatan Rakyat di Sabah terutama parti komponen Pakatan Rakyat yang turut mempunyai hak yang sama," kata Zainuddin selepas mengemukakan soalan dalam dialog berkenaan.

No comments:

Post a Comment