Tuesday, January 20, 2009

SINDIKET PASIR HARAM DI KINABATANGAN






PENCURI...Pencuri pasir ini bebas kerana kelonggaran undang-undang.










KEWUJUDAN berpuluh kuari pasir haram di sepanjang Sungai Kinabatangan membuktikan bahawa rasuah masih menjadi penghalang pembangunan apabila wang lebih berkuasa daripada undang-undang.

Presiden Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan, Patrick Sindu berkata, sikap lepas tangan antara pihak penguatkuasa disebabkan kekangan undang-undang menyebabkan pencuri pair yang merosakkan alam sekitar sering terlepas daripada tindakan.

"Amat memalukan apabila rakyat membuat aduan, Jabatan Alam Sekitar tidak dapat mengambil sebarang tindakan kerana kekurangan logistik dan terpaksa mengharapkan Pasukan Pengawal Maritim (APPM) membantu mereka menangkap pencuri. Namun apabila Maritim telah berjaya menangkap pencuri, Jabatan Alam Sekitar terpaksa pula menyerahkan pencuri kepada Jabatan Tanah," ujar Patrick yang tidak tahu kesudahan kes yang berlaku pada April 2008.

Menurut Patrick, setelah menerima aduan orang awam, Cash telah mengadakan tinjaun dan mendapati aktiviti pengambilan pasir sungai secara haram di Sungai Kinabatangan secara berleluasa tanpa sebarang kawalan kerana pencuri menggunakan jengkaut yang diletakkan di atas tongkang yang ditarik oleh kapal tunda.

Team pemantau Cash, kata Patrick, telah beberapa kali berusaha untuk mengesan aktivit tersebut tetapi mengalami kesukaran kerana pencuri sering berpindah randah bagi mengelak dikesan dan Cash terpaksa menyalurkan maklumat berkenaan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Daerah Maritim Sandakan-DM17 untuk tindakan lanjut.

"Hasil daripada maklumat orang ramai, APPM telah berjaya mengesan kegiatan pengambilan pasir sungai secara haram di Sungai Kinabatanggan dan telah menangkap tiga pekerja dan menyita peralatan yang digunakan untuk kegiatan haram berkenaan pada 28 April 2008," ujar Patrick yang memuji tindakan pantas APPM.

Tetapi kata Patrick, kejayaan APPM menangkap sebuah bot dan tongkang yang dimiliki Syarikat Tian Lee yang memuat lebihkurang 1,200 tan pasir curi tidak memberikan sebarang makna kerana terpaksa menyerahkan bot dan tiga orang anak kapal kepada Jabatan Alam Sekitar yang terpaksa menyerahkannya pula Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur kerana kegiatan haram ini hanya menjadi kesalahan di bawah Ordinan Tanah, Bab 68.

Tangkapan berkenaan dibuat APPM pada koordinat N5O9'50.9" dan E118O 9'41.70" dan disimpan di Jeti Tian Li, Sandakan, tetapi tegas Patrick, beliau sudah tidak mendapat khabar berhubung kes berkenaan.

Mengikut Patrick lagi, di bawah Ordinan Tanah, Bah 68 (23A) menyebut adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa mengambil , memindah atau mengangkut batu, pasir, batu karang dan sebagainya daripada mana-mana sungai atau laut tanpa lesen yang sah.

"Mana-mana pihak yang didapati bersalah di bawah ordinan ini hendaklah didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," namun kata Patrick beliau mendapati pencuri berkenaan belum di dakwa di mahkamah sehingga ke hari ini.

No comments:

Post a Comment