Tuesday, January 20, 2009

DAFTAR SEMULA KAD PENGENALAN SABAH


LAPOR...Jeffrey membuat laporan di Balai Polis Karamunsing dengan ditemani Aktivis Masyarakat, Dr Chong Eng Leong dan Bernaddete Wong.

KERAJAAN Persekutuan perlu mendaftar semula semua kad pengenalan yang berhuruf H atau yang dikeluarkan khas kepada rakyat Sabah kerana ianya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Negeri Sabah dan bukannya hak Kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan Persekutuan telah mencabul peruntukan perlembagaan dengan mencampuri urusan kerakyatan di Sabah. Semua kad pengenalan Sabah atau yang berhuruf H yang dikeluarkan tanpa restu kerajaan negeri adalah tidak sah dan batal," ujar Jeffrey yang merujuk kepada Fasal 161E (2) Perlembagaan Persekutuan.

Tegas Jeffrey, jika seorang asing ingin mendapat taraf penduduk tetap, ia hendaklah memohon kepada Kerajaan Negeri Sabah dan bukannya kepada Kerajaan Persekutuan.

"Jika untuk mendapat taraf penduduk tetappun Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kuasa dari segi Perlembagaan, apatah untuk memberi kerakyatan Sabah kepada warga asing terutama dalam Skandal kerakyatan songsang seperti Kad Pengenalan Projek," ujar Jeffrey yang meminta Peguam Negara menasihati Menteri Dalam Negeri dan Pengarah Pendaftaran Negara agar tidak menyalahgunakan kuasa meluluskan kerakyatan Sabah kepada mana-mana orang tanpa mendapat kelulusan Kerajaan Negeri Sabah.

Lanjutan daripada itu, Jeffrey mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja bagi menyiasat skandal kerakyatan songsang yang menghantui rakyat Sabah selama ini.

"Saya tidak fikir mereka tidak faham membaca Perlembagaan yang menetapkan hanya Kerajaan Negeri yang berkuasa menentukan taraf penduduk tetap sabah. Jika untuk mendapat penduduk tetap Sabah pun perlu kelulusan kerajaan negeri, apatah lagi untuk mendapatkan kad pengenalan sabah," ujar Jeffrey yang meminta agar kerajaan Pusat tidak merampas hak Kerajaan Negeri yang dijamin perlembagaan.

Jeffrey turut menggesa agar Jabatan Imigresen wajar diketuai oleh rakyat Sabah kerana pegawai yang dihantar daripada Semenanjung Malaysia tidak mempunyai semangat kecintaan terhadap negeri ini sehingga memberi pas lawatan sementara seperti IMM13 secara tidak sah kepada warga Filipina yang bukannya pelarian perang.

"Mereka hanya tahu melonggokkan warga asing di negeri ini kerana kalau terjadi apa-apa, mereka balik Semenanjung. Jadi kami mau pergi ke mana?," tanya Jeffrey yang jengkel dengan sikap Jabatan Imigresen yang masih mengeluarkan pas IMM13 dan Jabatan Pendaftaran mengeluarkan Taraf penduduk Tetap (kad pengenalan merah) kepada warga asing tanpa motif yang jelas dan kuasa yang sah.


WAWANCARA....Jeffrey sedang diwawancara Ketua Biro Bernama di Kantin Balai Polis Karamunsing.

Dalam perkembangan lain, Jeffrey yang turut membuat laporan polis berhubung kegiatan sindiket mengeluarkan atau memalsukan sijil mati begitu membimbangkan dan dipercayai didalangi oleh personel Jabatan Pendaftaran Negara, Polis, Hospital dan orang perseorangan yang berkepentingan.

"Sistem mendaftar kematian di Malaysia lebih buruk daripada sistem mendaftar kelahiran. Bayangkanlah ada orang dengan senang boleh mendaftar kematian orang yang sebenarnya masih hidup dan tidak diambil sebarang tindakan walaupun beberapa laporan polis telah dibuat," ujar Jeffrey selepas membuat laporan polis di Balai POlis Karamunsing dan memberi keterangan di Balai Polis Bandar, Kota Kinabalu.

Mungkin, Jabatan Pendaftaran satu-satunya jabatan yang mempunyai sistem paling buruk di dalam dunia kerana tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan secara interaktif dan hanya mengguna pakai sistem maklumat pasif yang boleh diubah secara manual sehingga lebih sejuta rakyat asing mendapat kerakyatan secara tidak sah.

Jeffrey menekankan, tidak ada gunanya kerajaan membelanjakan ratusan juta untuk menaiktaraf sistem komputer Jabatan Pendaftaran Negara jika Menteri atau pegawai kanan boleh menceroboh sistem berkenaan dan memalsukan data peribadi sehingga warga asing berjaya mendapat mykad tanpa melalui sebarang saringan.

Adalah tidak munasabah, kata Jeffrey jika polis tidak berjaya menangkap mereka yang membuat laporan polis berhubung kematian seseorang, doktor yang mengesahkan kematian atau jabatan yang mengeluarkan sijil mati secara rambang.

"Lebih memburukkan keadaan, daftar pemilih masih tidak bersih kerana sistem Jabatan Pendaftaran Negara dicemari dengan pelbagai unsur negatif iaitu tidak dapat mengesan rekod orang mati yang dibuat secara manual," ujar Jeffrey yang mengambil contoh Rafli yang dimatikan didalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara pada 2001 tetapi masih mengundi pada 2004!

No comments:

Post a Comment