Thursday, January 29, 2009

BANCI KEMISKINAN HARUS DIJANA DI SILAM

SALLEH KALBI


Oleh IBRAHIM TABIR


LAHAD DATU : Ahli Parlimen (MP) Kawasan Silam, Hj.Salleh Kalbi menggesa semua pihak berkaitan terutama Jabatan Kebajikan daerah dan Pejabat daerah Lahad Datu di sini supaya mengenalpasti golongan yang dikatakan miskin dan miskin tegar bagi memudahkan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan benar-benar sampai kepada golongan sasar.

"Masih terdapat penduduk tempatan di Lahad Datu dari golongan kaum Cina di Kampung Muhibbah," ujar Salleh selepas melawat kampung berkenaan yang hanya terletak kira-kira empat kilometer dari bandar di sini memerlukan bantuan segera daripada kerajaan kerana terpinggir dari arus pembangunan moden seperti kemudahan jalanraya yang baik, bekalan air paip dan elektrik.

Bercakap kepada mysabahkini ketika melawat kampung berkenaan pada Jumaat, Salleh berkata, beliau dimaklumkan menerusi sumber dari seorang kakitangan awam di daerah itu yang mendedahkan bahawa beberapa penduduk kampung di situ memerlukan bantuan kerana mereka merupakan golongan kurang mampu.

Kata Salleh, sda diantaranya yang hanya bergantung kepada buah kelapa muda untuk dimakan ketika waktu tengahari kerana beras dan makanan ruji tidak dapat diperolehi disebabkan kemiskinan yang membelenggu mereka.

"Ada ketikanya, mereka itu makan nasi hanya pada waktu malam sahaja", kata Salleh .

Sebelum ini, kta Salleh beliau tidak mengetahui tentang adanya golongan kurang mampu di kawasan itu dari kaum Cina.

Tetapi menurut sumber yang beliau perolehi, keadaan mereka itu sudah bertahun-tahun tidak mendapat pembelaan daripada kerajaan dan pemimpin sebelum ini, tegas Salleh sambil menambah, kehadiran beliau ke kawasan tersebut menjelaskan dengan nyata bahawa terdapat golongan miskin dan daif di kampung berkenaan yang menghadapi kehidupan susah sejak 51 tahun negara Merdeka.

Salleh berkata, beliau telah mengarahkan kakitangannya di pejabat Parlimen Silam untuk mengemukakan laporan penuh dan terperinci berhubung perkara itu untuk diambil perhatian segera oleh jabatan kerajaan yang berkenaan.

Dalam lawatan tersebut, beliau menyerahkan beras kampit dan barangan hamper kepada tiga keluarga kaum Cina di kampung berkenaan .

Lawatan itu turut melegakan dan memberi suntikan semangat kepada golongan tersebut yang sudah lama dahagakan sumbangan peribadi daripada pemimpin mereka kerana sebelum ini.

"Tidak ada seorangpun wakil rakyat atau ahli parlimen yang pernah berkhidmat di kawasan ini menjenguk rumah usang kami", kata seorang warga tua berumur lingkungan 50-an.

Sementara itu Salleh berkata, beberapa aduan dan rungutan mengenai bantuan untuk golongan miskin yang disediakan kerajaan tidak sampai kepada golongan sasar kerana beberapa sebab yang telah dikenalpasti.

Menurutnya, aduan seperti itu ada kebenarannya kerana sebelum ini, terdapat senarai golongan miskin yang dikeluarkan untuk mendapatkan bantuan seperti itu sebenarnya mereka golongan yang mampu .

"Ini mungkin disebabkan, terdapatnya karenah birokrasi dan ketidak cekapan beberapa agensi dalam mengenalpasti siapa golongan miskin yang sebenarnya", kata Salleh.

Perkara yang berbangkit seperti ini kadangkala masyarakat terus menuding jari kepada pemimpin mereka dan menyalahkan kerajaan kerana kononnya tidak cekap.

Masalah ini kata Salleh memerlukan penyelesaian yang sempurna dengan adanya kerjasama, komitmen dan rasa tanggungjawab kepada mereka yang diamanahkan untuk menjalankan tugas tersebut.

Laluan ke rumah penduduk miskin itu berlopak dan semak-samun juga kelihatan jelas di bahu-bahu jalan.

Tidak jauh dari kawasan tersebut, terdapat sebuah rumah milik seorang pemimpin tempatan di sini, tetapi mendukacitakan golongan miskin yang ada di sekitar situ tidak pernah dijenguk oleh pemimpin terbabit .

Tidak diketahui sama ada perkara itu diketahui oleh pemimpin berkenaan, atau sengaja tidak diambil peduli oleh mereka .

No comments:

Post a Comment