Monday, January 26, 2009

PENDUDUK PANGI KUNAK AKAN DAPAT KEMUDAHAN AIR PAIP


TIBA...Nilwan (bertopi) ketika tiba di majlis tersebut.


Oleh:
Ibrahim Tabir



KUNAK : Penduduk kampung yang tinggal di Zon Pangi meliputi kampung Hampilan, Pangi Tengah, Pangi Hujung, Kasnuri, dan Kampung Telaga Tujuh akan mendapat bekalan air paip graviti apabila projek menaiktaraf Loji Air Sungai Kalumpang di daerah ini siap sepenuhnya.

"Kerja-kerja pembinaan Loji penapisan air dekat Sungai Kalumpang itu sedang dijalankan dan apabila siap kelak ia dapat menambah jumlah pengeluaran air yang boleh menampung keperluan penduduk Kunak termasuk Zon Pangi di sini," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kunak, Nilwan Kabang ketika melakukan tinjauan dan merasmikan Majlis Dailog Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Datuk Jasa Kampung Pangi, kira-kira empat kilometer dari pekan Kunak baru-baru ini.

Nilwan yang juga Pengerusi PERKASA Negeri Sabah berkata, kerajaan menyedari bahawa keperluan air bersih sangat dinanti-nantikan oleh penduduk di kawasan berkenaan dan sebab itulah projek tersebut sudah dilaksanakan dan kini menunggu untuk disiapkan .

Beberapa tahun lalu, penduduk di kampung berkenaan terpaksa mengharapkan air hujan dan air perigi untuk kegunaan mereka.

"Projek tersebut pada peringkat permulaannya dianggarkan bernilai RM 40 juta atas pembiayaan Kerajaan Persekutuan," ujar sambil menjelaskan beliau mensasarkan semua kampung di sekitar Kunak akan menikmati bekalan air paip pada 2011.

Sesi dailog tersebut turut melibatkan beberapa jabatan dan agensi kerajaan antaranya; Pejabat Daerah Kunak, PDRM, Jabatan Pertanian, JKR daerah, Perikanan, Sabah Electricity Sd.Bhd. (SESB), Jabatan Air, Jabatan Haiwan dan Perusahaan Ternak, Telekom Malaysia, Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan Kunak.



KENANGAN...Pemimpin tempatan mengabadikan kenangan bersama Nilwan.


Di majlis yang sama, penduduk kampung berkenaan turut mengambil bahagian dalam sesi dailog dan mengemukakan beberapa persoalan termasuklah mengenai jalanraya, air, elektrik dan soal keselamatan setempat .

Turut hadir di majlis itu, Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Kunak, Halid Harun dan Ketua Cawangan Khas Daerah, ASP Dzulmukhry Ismail mewakili Ketua Polis daerah .

No comments:

Post a Comment